ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan memberi bantuan khas RM2,000 kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan sumbangan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bantuan itu melibatkan peruntukan RM10.8 juta kepada 5,600 penjawat awam negeri.
Katanya lagi, bantuan khas kewangan itu akan dibayar secara berperingkat pada bulan depan, dan bakinya akan dibayar pada Mac 2024.
“Kerajaan negeri amat menghargai dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi kakitangan awam dan pentadbiran negeri dalam menyokong dan melaksanakan setiap dasar, program dan projek yang dirancang demi mensejahterakan negeri Kedah,” katanya ketika membentangkan Bajet 2024 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Mohammad Sanusi berkata, pemberian bantuan khas kewangan itu sebagai bantuan Aidilfitri, bantuan khas sekali sahaja juga akan diberikan pada Mac 2024 kepada imam lantikan negeri, pengerusi Majlis Ketua Kampung dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK)
“Kadar bantuan khas one-off ini akan ditentukan kelak,” katanya.
Pada sidang media selepas itu, Muhammad Sanusi berkata bantuan kewangan kepada penjawat awam itu adalah yang tertinggi pernah diberikan.
“Bonus (bantuan kewangan) RM2,000 ini yang paling tinggi pernah bagi. Tahun lepas, (beri) RM1,000, tahun ini naik sekali ganda, 100 peratus naik.
“Saya ikut kerajaan Persekutuan. (Kerajaan Persekutuan) janji RM2,000. Kasihan pula kakitangan awam kerajaan negeri dapat sedikit. Bagi samalah, saya ikut PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.