Terkini : Bonus Penjawat Awam RM2000, Pesara RM1000 Dibayar Minggu Hadapan

Terkini : Bonus Penjawat Awam RM2000, Pesara RM1000 Dibayar Minggu Hadapan. Inisiatif khas ini merupakan sumbangan tambahan yang diberikan kepada mereka yang berkelayakan.

Bayaran Insentif Awal

PUTRAJAYA, – Bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam, dibayar sekali gus pada 23 Feb ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

“Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Bayaran Insentif Awal itu disalurkan sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimukatamadkan.

Beliau berkata laporan akhir Kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan, sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan kelulusannya.

“Saya dah mulakan mesyuarat pelarasan gaji penjawat awam (SSPA) dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), (mereka) setuju untuk dipercepatkan.

“Saya tak mahu kata ia sengaja dilengah-lengahkan, sudahlah 12 tahun tunggu, kita ambil laluan pantas,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Laporan Interim 1 Kajian SSPA telah diserahkan kepada Anwar pada 19 Jan lepas.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Okt lepas dilaporkan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.

Anwar dalam pada itu berkata kerajaan tidak hanya menumpukan kepada kebajikan penjawat awam, sebaliknya berusaha menyantuni semua lapisan golongan rakyat yang memerlukan termasuk peneroka dengan kerajaan telah menaikkan Insentif Pengeluaran Getah kepada RM3 per kilogram (kg) tahun ini, berbanding RM2.50 per kg pada 2022.

“Pesawah padi pun (tak dilupakan), kita bayar Kadar Skim Subsidi Harga Padi dari RM360 per metrik tan pada 2022 kepada RM500 per metrik tan tahun lepas, serta harga lantai belian padi juga dinaikkan dari RM1,200 per metrik tan pada 2022 kepada RM1,300 per metrik tan pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata bayaran Bantuan Awal Persekolahan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima juga mula dibayar bulan lepas untuk membantu persediaan persekolahan anak-anak.

Anwar berkata peningkatan mendadak sumbangan kepada rakyat hanya dapat dilakukan kerana kejayaan kerajaan mengurangkan kos yang dianggap tiris, dan membazir, selain kejayaan melaksanakan beberapa program seperti penyasaran subsidi elektrik dan pengapungan harga ayam.

“Ini semua membantu untuk kita mendapatkan hasil yang lebih baik dan kemudian khidmat rakan-rakan dalam badan penguat kuasa seperi kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang boleh membawa hasil lebih baik.

“Dan hasil ini seperti yang saya tunjukkan buktinya, kita boleh tambah lonjakan besar (sumbangan dan bantuan) kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Bernama

Kadar Bayaran

Untuk makluman, bantuan istimewa ini akan dibayar secara one-off kepada mereka yang terlibat. Senarai penerima dan jumlah bayaran adalah seperti berikut :

  • RM1000 : Bagi kategori pesara kerajaan termasuklah veteran yang berpencen dan vetera tidak berpencen
  • RM2000 : Bagi kategori penjawat awam gred 56 dan kebawah termasuk berstatus lantikan kontrak.

Sumbangan berjumlah RM1000 juga akan diberikan kepada mereka yang berada dalam jawatan utama sektor awam yang melibatkan semua pihak. Termasuklah polis, tentera, bomba, angkatan dan seluruh anggota beruniform.

Mohon juga (Tekan Link Dibawah):