Beberapa bulan yang lepas kecoh di sosial media berkenaan ID Digital Malaysia atau ID Nasional (IDN). Ramai pengguna sosial media mengungkapkan rasa risau akan keselamatan penggunaan pengesahan identiti secara atas talian ini.
Namun begitu, tahukah anda sebenarnya tentang apa itu IDN?
Apa kebaikan dan kelebihannya?
Adakah anda tahu bahawa kerajaan MADANI telah memberi jaminan keselamatan berkenaan penghasilan IDN ini?
Jika anda tidak tahu jawapan bagi setiap persoalan berikut, pastikan anda membaca artikel ini sehingga ke penghujung bagi mendapatkan jawapan, sama ada anda perlu risau atau tidak berkenaan IDN ini.
Apa itu ID Digital Malaysia?
ID Digital Malaysia merupakan satu kaedah pengesahan identiti atas talian yang telah dirancang penghasilannya bermula tahun 2018 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, YB Gobind Singh Deo.
Idea ini telah diteruskan oleh Kerajaan MADANI, dengan MIMOS Berhad sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertanggungjawab bagi pelaksana program Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID ini.
IDN ini adalah satu kaedah untuk pengesahan identiti seseorang di alam maya berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’ dan ‘What You Know’ yang disokong oleh rangkakerja identiti digital yang dipercayai (trusted digital identity framework).
IDN adalah suatu bentuk pengenalan digital yang digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan digital dan melakukan transaksi dalam talian secara lebih selamat. Walau bagaimanapun, IDN tidak akan menggantikan kad pengenalan.
Platform pengesahan Identiti Digital adalah untuk kegunaan sektor perkhidmatan Kerajaan dan swasta khususnya bagi memenuhi keperluan untuk mengesahkan identiti individu yang mengakses perkhidmatan elektronik, melaksanakan transaksi serta tanda tangan digital yang disediakan oleh mereka.
Secara tidak langsung, ia dapat memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara jarak jauh di alam maya dengan penyedia perkhidmatan digital dari sektor awam dan swasta bagi tujuan pengesahan identiti dengan selamat, terjamin dan menjimatkan masa.
Tarikh Pelaksanaan
ID Digital atau Identiti Nasional (IDN) ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan pada tahun 2024 dengan pendaftaran akan dibuka kepada orang awam pada bulan Mac tahun hadapan.
Ciri-ciri IDN
Berikut merupakan ciri-ciri yang wujud dalam pelaksanaan ID Digital Malaysia ini:
- Platform IDN beroperasi pada tahap kepercayaan yang tinggi untuk warganegara, kerajaan dan komuniti perniagaan
- Setiap warganegara dan penduduk yang layak akan didaftarkan dalam program IDN
- Memanfaatkan data demografi JPN untuk pengeluaran IDN
- Data biometrik baru (Cap Jari, Iris dan Muka) dan data demografi tambahan akan disimpan di dalam pangkalan data IDN
- IDN adalah nombor rawak yang dihubungkan dengan nombor kad pengenalan di dalam pangkalan data IDN. Nombor Kad Pengenalan digunakan oleh Warganegara & Pemastautin Tetap untuk transaksi IDN.
- Biometrik pelbagai-mod (“multi-modal”) akan diambil bagi setiap pemohon yang mendaftar.
- IDN akan membolehkan pengesahan identiti secara nyata dan dalam talian, serta perkhidmatan e-KYC.
- IDN akan memastikan reka bentuk yang menekankan aspek keselamatan dan privasi.
- IDN adalah unik untuk sepanjang hayat, dan seseorang individu tidak boleh mempunyai dua ID Digital
- Platform IDN adalah saling hubung (“interoperable”) dan berasaskan dasar keselamatan negara dan piawaian antarabangsa
Faedah/Kebaikan IDN
Antara kelebihan ID digital ini bagi rakyat Malaysia adalah:
- Pengesahan diri yang tepat dan dipercayai
- Menghapuskan pertindihan data identiti
- Kurangkan risiko penipuan identiti atas talian
- Kemudahan log masuk tunggal untuk pelbagai aplikasi
- Selamat, pantas dan mudah bagi tujuan transaksi atas talian
- Memudahkan akses perkhidmatan kerajaan di atas talian (JPJ, PDRM, JPN, SPRM dan LHDN)
Cara Daftar ID Digital Malaysia
Untuk pengetahuan anda, pendaftaran ID Digital ini perlu dilakukan melalui Kios IDN, namun begitu anda masih perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID menggunakan peranti pilihan anda:
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum mendaftar di kios IDN:
- Muat turun aplikasi MyDigital ID dalam peranti / telefon mudah alih
- Tetapkan kata laluan anda.
- Bawa bersama kad pengenalan untuk proses verifikasi di Kios IDN
Maklumat pendaftaran dan lokasi kios pendaftaran akan disenaraikan di laman web MyDigital ID kelak.
Maklumat Lanjut
Bagi anda yang inginkan maklumat tambahan berkenaan ID Digital Malaysia ini anda boleh ke laman rasmi MyGovernment.
Baca juga: Kurikulum 2027 : Pendekatan Baharu Dalam Pendidikan Malaysia
The post ID Digital Malaysia: Pengenalan, Kelebihan & Cara Mendaftar appeared first on SEMAKAN ONLINE.